KUALA TERENGGANU, 24 Mei (Bernama) -- Seorang penganalisis kewangan berputih mata selepas wang simpanan sebanyak RM147,350 lesap ditipu sindiket skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada Februari lepas mangsa lelaki berusia 42 tahun itu melihat iklan pelaburan saham di laman sosial Instagram.
Azli berkata mangsa membuka pautan pada iklan berkenaan dan dijemput menyertai kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada 125 ahli serta aktif berkomunikasi mengenai keadaan pasaran saham.
"Seorang daripada ahli kumpulan WhatsApp berkenaan mengaku bekerja untuk sebuah syarikat sekuriti dan pelaburan dari China. Suspek mengajak mangsa untuk menggunakan platform HTGIC bagi membuat pelaburan, tetapi perlu membuat transaksi wang ke beberapa akaun syarikat terlebih dahulu untuk proses jual beli saham.
"Suspek meyakinkan mangsa bahawa dia boleh memantau semua transaksi wang pelaburan dalam akaun syarikat menggunakan platform terbabit dan bebas menggunakannya untuk proses jual beli saham," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa yang terperdaya telah membuat 13 kali pindahan wang ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM147,350.
Selain wang simpanan, mangsa juga telah membuat pinjaman daripada ibunya dan menggunakan wang milik syarikat untuk melabur.
"Mangsa membuat laporan polis pada 7.36 petang semalam kerana gagal mendapatkan keuntungan daripada pelaburan sehingga ke hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial