Golongan Pesara Turut Terdedah Sasaran Sindiket Penipuan Peluang Pekerjaan

26/05/2025 01:43 PM

KANGAR, 26 Mei (Bernama) -- Golongan pesara yang mencari pekerjaan sambilan selepas bersara, turut terdedah sebagai sasaran sindiket penipuan peluang pekerjaan atau job scam, disebabkan simpanan persaraan mereka yang menarik minat pihak tidak bertanggungjawab.

Tanpa memberikan statistik kes terperinci, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihaknya mendapati, terdapat kes penipuan peluang pekerjaan itu melibatkan mangsa yang terdiri daripada golongan berkenaan.

“Kadangkala mereka ini ada simpanan, bersara pada usia 55 atau 60 tahun dan masih ingin bekerja. Situasi ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan kerja bergaji tinggi, namun mensyaratkan bayaran pendahuluan atau caj tertentu.

“Apabila terlalu yakin atau tidak menyemak kesahihan tawaran itu, mereka akhirnya terperdaya. Ini antara taktik yang digunakan sindiket untuk memperdaya golongan pesara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hindari Diri Dari Menjadi Mangsa Penipuan Peluang Pekerjaan, di sini hari ini.

Azman berkata sindiket penipuan itu, menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial dan laman sesawang palsu, yang menampilkan tawaran kerja dengan pakej gaji lumayan untuk meyakinkan mangsa.

“Kadang-kadang maklumat yang dipaparkan nampak sah, tetapi sebenarnya tidak. Kita khuatir jika tiada kesedaran, lebih ramai golongan rentan seperti pesara akan menjadi mangsa. Sebab itu kementerian ambil langkah berterusan memberi pendedahan termasuk melalui siri jelajah seperti seminar hari ini,” katanya.

Seminar anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu, disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar, pencari kerja serta masyarakat awam yang ingin memahami kaedah mengenal pasti taktik penipuan kerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan