Reman Suspek Wanita Kes Simbah Asid Disambung Empat Hari

26/05/2025 02:59 PM

BACHOK, 26 Mei (Bernama) -- Reman terhadap seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar di sini Sabtu lepas, disambung bermula esok hingga 30 Mei ini.

Perintah sambung reman terhadap wanita berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek yang bekerja di kilang getah itu ditahan di hadapan kilang pada 4 petang, 21 Mei lepas dan telah direman selama lima hari yang berakhir hari ini.

Seorang lelaki berusia 45 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian sama dan direman tujuh hari hingga 29 Mei. 

Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Bachok pada 17 Mei lepas.

Mangsa yang melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki kini dilaporkan stabil setelah dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan