Polis Rakam Keterangan 47 Individu Termasuk Rakan Rapat Pamela Ling

26/05/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Polis merakam keterangan 47 individu termasuk rakan rapat Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang 9 April lepas, namun setakat ini tiada petunjuk baharu diperoleh daripada siasatan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata daripada jumlah itu, empat individu, iaitu tiga anaknya dan seorang rakan rapatnya dirakam keterangan di Singapura manakala selebihnya di negara ini.

"Semua keterangan bagi membantu siasatan sudah diambil tetapi tiada petunjuk (baharu) setakat ini," katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Rusdi berkata siasatan turut mendapati tiada transaksi dikesan daripada akaun bank milik Pamela kepada individu lain dan tiada bukti menunjukkan unsur politik terlibat dalam kes berkenaan.

“Setakat ini kita tidak nampak keterangan menjurus ke arah itu (penglibatan ahli politik),” katanya

Mengenai dakwaan kemungkinan suami mangsa terlibat, Rusdi berkata siasatan masih diteruskan terhadap semua pihak termasuk individu yang rapat dengan wanita terbabit.

Beliau berkata penahanan reman terhadap suami Pamela ditolak oleh mahkamah sebelum ini kerana tiada keperluan perkara itu dibuat memandangkan lelaki terbabit memberikan kerjasama yang baik.

“Pada awalnya, kita mahu reman suaminya di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah tetapi permohonan itu ditolak. Jadi, kita guna sepenuhnya tempoh 24 jam dia ditahan untuk kita lakukan siasatan,” katanya.

Rusdi berkata semakan mendapati kali terakhir Pamela berhubung dengan anaknya di Singapura ialah sehari sebelum kehilangannya.

Mengulas dakwaan mengenai Pamela ada memohon kerakyatan negara lain, Rusdi berkata perkara itu merupakan permohonan peribadi dan tidak dapat disahkan pihak polis ketika ini.

Pada 9 April, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan