10 Individu Didenda Antara RM700 Hingga RM2,000 Beri Maklumat Palsu Kepada JPN

26/05/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10 individu masing-masing didenda antara RM700 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Kesemua tertuduh berusia antara 55 hingga 69 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Illi Marisqa Khalizan, M.S Arunjothy, Aina Azahra Ariffin, Farah Nabihah Muhammad Dan serta S. Mageswary.

Mengikut pertuduhan, sembilan lelaki iaitu Chok Tin Yong, Theng Lee Ping, Chia Chin Tong, Douglas Chan Chung Lei, K.K Thangarajoo, Mohamed Agbal Ibrahim, Yong Chin Heng, Lim Kok Boon dan S'ng Peng Tiong didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran bagi sembilan bayi di beberapa kaunter JPN di sekitar ibu negara sejak 2004 hingga 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Theng dan seorang lagi tertuduh Gelam Fatimah Meer Ahmad turut mengaku bersalah atas pertuduhan memohon kad pengenalan menggunakan sijil kelahiran mengandungi maklumat palsu di kaunter JPN sekitar ibu negara antara 2004 hingga 2022.

Pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohd Khairul Afizi Yusof, Zulkarnain Ahmad, Md Shahedan Md Taib, Mazrul Azli Matrus, Tengku Hazmi Taqiuddin Tengku Ab Aziz, Nor Zarina Zakaria, Nurul Nadiah Zainal Abidin, Mohd Ramzi Adnan dan Arief Khairee Khairuddin manakala beberapa tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan