Penolong Pengarah Didakwa Guna Kedudukan Dapatkan Kontrak Untuk Isteri

27/05/2025 03:08 PM

SEREMBAN, 27 Mei (Bernama) -- Seorang penolong pengarah di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat milik isterinya pada 2021 dan 2022.

Rosdi Pilus, 50, yang merupakan Pegawai Belia dan Sukan gred S44 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk membuat padanan bayaran baucer bernilai RM19,990 bagi perolehan Perkhidmatan Pakej Penginapan, Makan dan Minum Kursus Teknologi Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan oleh syarikat MAAR Diversified Enterprise milik isterinya yang berusia 51 tahun. 

Bagi pertuduhan kedua, Rosdi didakwa memperakukan ‘Kelulusan Ketua Bahagian’ pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat sama bagi perolehan Perkhidmatan Program Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Sembilan masing-masing pada 18 Nov 2021 dan 23 Feb 2022 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Rosdi boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Zainab Yahaya meminta mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon jumlah jaminan paling minimum berikutan anak guamnya tidak mampu membayar jaminan tinggi serta tidak akan melarikan diri selain memberikan kerjasama baik kepada SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 7 Julai ini untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan