KOTA BHARU, 27 Mei (Bernama) -- Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar di sebuah sekolah Kuala Krai, pada April tahun lepas.
Remaja yang kini berumur 18 tahun itu, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Zulkifli Abblah.
Mengikut pertuduhan remaja terbabit didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah bilik stor sekolah menengah di Kuala Krai, pada 3 petang April tahun lepas.
Remaja berkenaan didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika kejadian, remaja itu masih bawah umur, maka hukuman tertakluk di bawah Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Norfarhan Liyana Wan Baharunddin.
Ahmad Faiz Fitri menawarkan jaminan RM15,000, bagaimanapun Wan Norfarhan Liyana memohon jumlah jaminan dikurangkan tidak lebih daripada RM3,000 atas faktor ibu bapa remaja berkenaan hanya bekerja sebagai buruh kilang dan ladang, yang bergaji hari serta berpendapatan rendah.
Wan Norfarhana Liyana juga memaklumkan kepada mahkamah, remaja itu yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan menyambung pengajian di matrikulasi bulan depan.
Zulkifli kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan syarat remaja itu tidak mengganggu saksi dan menetapkan 26 Jun bagi tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial