Saya Hanya Bercakap Benar Dalam Kes Rasuah Lim Guan Eng - Saksi

27/05/2025 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seorang saksi utama dalam kes membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa beliau hanya bercakap benar berhubung kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, berkata kes itu memang berlaku, kerana banyak bukti dan dokumen yang dikemukakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan dijalankan.

“Saya terpaksa bercakap betul. Kalau ikut hati, saya berharap YB Lim Guan Eng menang dalam kes ini sebab saya terhutang budi dengannya.

“Bagaimanapun, semasa siasatan, saya tengok banyak bukti serta dokumen dan saya tidak dapat menafikan bahawa kejadian itu memang terjadi,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion membabitkan Lim.

Wan Shaharuddin: Awak beritahu mahkamah bahawa awak diminta untuk membuat kenyataan akhbar berhubung projek itu, dan awak memaklumkan kepada mahkamah kandungan dalam kenyataan itu tidak betul, tetapi awak masih berikan kenyataan tersebut.

Zarul Ahmad: Saya buat sebab nak selamatkan projek saya, sebab tak nak keruhkan keadaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika itu dan mahu selamatkan beliau (Lim).

Zarul Ahmad berkata dalam kenyataan itu, beliau menyatakan projek diperolehinya itu adalah secara telus dan tiada unsur jenayah, namun kenyataan itu tidak benar.

Wan Shaharuddin: Apa yang awak katakan ketika itu tidak benar, awak tipu rakyat Pulau Pinang dan sebagainya dan awak masih nak selamatkan imej Lim Guan Eng?

Zarul Ahmad: Saya memang terhutang budi dengan beliau dan saya akan ikut arahan beliau kerana ketika itu beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 24 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan