SEPANG, 27 Mei (Bernama) -- Lima anggota polis termasuk dua berpangkat Sarjan dan tiga berpangkat Koperal, menjadi dalang kepada kegiatan mencuri kabel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu, antara 16 suspek termasuk seorang wanita, berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun, yang ditahan terbabit dalam sindiket itu yang dikenali sebagai Sindiket Mulia, bersempena nama ketua sindiket itu.
“Siasatan mendapati, mereka bocorkan beberapa informasi polis dari segi pencegahan jenayah dan sebagainya.
“Mereka (ahli sindiket) juga mendapat maklumat daripada anggota polis terlibat, mengenai kawasan yang kurang rondaan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman.
Beliau berkata kesemua anggota polis itu kini ditahan reman sejak 23 Mei lepas, bagi membantu siasatan selepas ditangkap pada 22 Mei lepas di beberapa lokasi di Cheras dan Kajang.
Hussein berkata kegiatan sindiket itu, turut dibantu “orang dalam” iaitu masing-masing juruteknik dan pengawal keselamatan daripada syarikat yang dilantik Telekom Malaysia (TM).
Beliau berkata “orang dalam” itu akan memberitahu anggota sindiket bahagian yang perlu dipotong, bagi mengelakkan siren amaran berbunyi.
“Maksudnya dalam setiap kejadian curi kabel ini, melibatkan orang dalam sendiri, yang menunjukkan tempat-tempat mana yang mereka boleh curi, mudah potong sehinggakan mereka diajar tempat mereka perlu potong untuk mengelakkan alarm berbunyi.
“Jadi modus operandi mereka ialah selepas mereka menerima maklumat mengenai kawasan-kawasan yang kabel mudah dicuri serta maklumat rondaan polis, mereka akan menjalankan kegiatan curi kabel,” katanya.
Beliau berkata kabel-kabel itu kemudiannya akan dibawa ke dalam sebuah ladang untuk dibakar bagi mendapatkan logam berharga iaitu tembaga (copper), dan dijual ke kedai besi buruk.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai telah bergiat aktif sejak setahun lepas dengan perancang mereka ialah dua lelaki yang masing-masing mempunyai 36 dan 29 kes jenayah lampau, termasuk kes dadah.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah melakukan 23 transaksi penjualan kabel di kedai besi buruk di sekitar Semenyih, dengan anggaran jualan kira-kira RM683,000.
“Kita percaya sindiket curi kabel ini telah melakukan lebih daripada 23 kes kecurian,” katanya.
Beliau berkata antara barang yang dirampas polis termasuk sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah kereta jenis Proton Perdana, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso Canter bersama 1.2 tan besi dan kelengkapan memotong besi.
Hussein berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau dalam pada itu berkata kes kecurian membabitkan kabel TM dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur serta Selangor, merupakan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara atau 208 kes, bagi empat bulan pertama tahun ini.
“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 649 kes kecurian kabel TM dan TNB direkodkan di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial