SEPANG, 27 Mei (Bernama) -- Seorang pesara polis dan dua yang lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan pelbagai peralatan dan kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk senjata api palsu, di Cyberjaya pada Ahad lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 29 hingga 64 tahun itu ditahan selepas anggota dari Balai Polis Cyberjaya yang sedang membuat rondaan mengesan mereka dalam keadaan mencurigakan ketika memasukkan barangan ke dalam kereta Proton Waja.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan PDRM, termasuk senjata api tiruan pelbagai jenis.
"Kami dapati mereka bukan anggota polis daripada mana-mana balai ataupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), sebaliknya adalah kru bebas produksi filem bagi drama dan filem bertemakan kepolisan.
“Siasatan awal mendapati, peralatan itu digunakan untuk penggambaran sebuah drama tempatan tanpa sebarang permohonan bertulis daripada Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman.
Polis turut merampas peralatan PDRM daripada suspek, antaranya dua kon polis, dua unit lampu bacon magnet bertulis polis, tiga pasang kasut operasi polis, enam helai vest polis, dua senjata menyerupai HK MP5, dua senjata mainan menyerupai M416 dan enam topi polis trafik.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman selama dua hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan.
Hussein berkata memiliki peralatan dan kelengkapan polis, termasuk senjata yang menyerupai senjata sebenar satu kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
"Kami memandang serius penggunaan peralatan, pakaian seragam, serta aset PDRM tanpa kelulusan rasmi, khususnya dalam produksi filem dan drama.
"Mana-mana pihak yang ingin melibatkan elemen kepolisan dalam penggambaran diwajibkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.
"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh mengundang tindakan undang-undang tetapi juga berisiko menjejaskan kredibiliti institusi keselamatan negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial