ALOR SETAR, 27 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas sejumlah kasut dan beg dipercayai tiruan yang dianggarkan bernilai lebih RM250,000, berhampiran pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata dalam operasi bersama sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada kira-kira 8 malam itu, pemeriksaan dilakukan terhadap dua lori yang kelihatan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah barangan yang dibungkus dalam guni diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan dalam keadaan meragukan.
"Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah beg dan kasut pelbagai jenama yang dipercayai menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata sebanyak 387 beg dan 1,528 kasut pelbagai jenama serta dua lori disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Muhammad Nizam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjual barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil dan KPDN Kedah juga akan terus mempergiat pemeriksaan serta operasi selaras dengan inisiatif 'Kita Gempur'.
Sebarang aduan boleh dibuat melalui portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdn.gov.my atau hubungi Pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001800.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial