Kastam Perlis Rampas Pelbagai Barangan Bernilai Lebih RM640,000

28/05/2025 05:00 PM

PADANG BESAR, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, ayam sejuk beku dan tayar motosikal bernilai lebih RM640,000 antara 5 hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata rokok, minuman keras dan tayar terbabit berjumlah RM379,756.52 manakala ayam sejuk beku bernilai RM266,076.

“Cukai dan duti barangan dirampas itu dianggarkan bernilai RM196,173.50,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ayam sejuk beku seberat 28 tan metrik itu dirampas hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar pada 5 Mei.

“Siasatan awal mendapati jumlah dagangan yang diimport melebihi kuantiti diikrarkan dalam Borang Kastam 1, menjadikan pengikraran itu tidak tepat. Ayam sejuk beku ini tertakluk kepada permit di bawah Butiran 1, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Ismail berkata 7,526 unit tayar motosikal bernilai RM345,009 itu pula dirampas hasil pemeriksaan terhadap dua kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 20 Mei yang mendapati Borang K1 tidak diikrar dengan benar.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Mengenai 24,210 batang rokok dan 113.25 liter minuman keras, Ismail berkata barangan terbabit yang bernilai RM11,173.52 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Taiping, Perak pada 17 Mei.

“Pada hari sama (17 Mei), dalam satu lagi serbuan di Sungai Petani, Kedah, sebanyak 73,040 batang rokok bernilai RM23,574 turut dirampas,” katanya sambil menambah kes rokok dan minuman keras itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan