83 PATI Ditahan Dalam Op Sasar Di Alam Megah

28/05/2025 05:40 PM

SHAH ALAM, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 83 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk sepasang kekasih warga Myanmar dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan barang di Alam Megah, Seksyen 27 di sini hari ini. 

Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata sebanyak 150 warga asing diperiksa menerusi Op Sasar membabitkan dua buah premis yang menjalankan perniagaan penyimpanan barangan bermula pukul 10 hingga 12 tengah hari.

Beliau berkata kesemua PATI berusia antara 22 hingga 50 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf.

“Sebanyak 68 individu warga Myanmar termasuk lima wanita, sepuluh Bangladesh serta lima Pakistan yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan serta tindakan susulan.

“Seorang warga tempatan berusia 48 tahun yang dipercayai pengurus syarikat bagi kedua-dua premis itu juga ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan PATI,” katanya pada sidang media di Pejabat JIM Selangor di sini hari ini.

Khairrul Aminus berkata siasatan awal mendapati terdapat warga asing yang menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan menyalahgunakan permit kerja.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, Khairrul Aminus turut menyarankan warga asing menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 yang bermula 19 Mei hingga 30 April tahun depan, dengan bayaran keseluruhan RM520 termasuk denda dan pas khas untuk pulang ke negara asal.

Sebanyak empat lokasi pejabat JIM Selangor terlibat dalam program berkenaan iaitu di Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan