KOTA BHARU, 30 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan cubaan menyeludup lembu dan haiwan eksotik dengan nilai rampasan kira-kira RM251,000 dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam kejadian pertama, sepasukan anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Wakaf Simen, Tanah Merah pada 11.15 malam.
"Hasil pemeriksaan menemui 15 ekor lembu dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah dengan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM186,000.
"Pemandu merupakan seorang lelaki Melayu berusia 52 tahun turut ditahan dan dipercayai cuba menghantar lembu tersebut ke pasaran tempatan sempena Hari Raya Aidiladha nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Nik Ros Azhan berkata dalam kejadian kedua pada kira-kira 11 malam berhampiran pangkalan haram Paija di Pengkalan Kubor, Tumpat, anggotanya menemui beberapa kotak dan sangkar haiwan yang ditinggalkan di tebing sungai semasa rondaan dijalankan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kotak berkenaan mengandungi tiga ekor burung kakak tua dan seekor merak putih yang dianggarkan bernilai RM65,000, dipercayai turut diseludup dari negara jiran.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial