SHAH ALAM, 30 Mei (Bernama) -- Polis menahan 13 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disyaki terlibat dalam jenayah mencuri kabel komunikasi dipercayai dengan niat untuk mensabotaj sistem komunikasi utama di Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek yang ditahan menerusi Op Lusuh Mulia itu melakukan jenayah berkenaan di laluan kritikal yang menyokong infrastruktur data kerajaan serta sektor keselamatan.
“Gangguan terhadap kemudahan ini berpotensi besar menjejaskan penyelenggaraan perkhidmatan telekomunikasi serta infrastruktur komunikasi berkaitan, sekali gus mengancam ketenteraman awam.
“Sehubungan itu, semua suspek akan ditahan lanjut bagi tempoh tidak melebihi 28 hari di bawah peruntukan Seksyen 4(5) SOSMA bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis komited dalam membanteras jenayah yang mampu mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di samping menyeru kerjasama orang awam dalam membantu usaha mengekang aktiviti jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata lima anggota polis termasuk dua berpangkat Sarjan dan tiga berpangkat Koperal menjadi dalang kepada kegiatan mencuri kabel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lepas.
Beliau berkata anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai di sekitar dua negeri itu, antara 16 suspek termasuk seorang wanita, berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun ditahan terbabit dalam sindiket dikenali sebagai Sindiket Mulia, bersempena nama ketua sindiket itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial