Tiga Maut Dalam Kemalangan Libatkan Bas Dan Kereta Di Kuala Krai

30/05/2025 11:48 PM

KUALA KRAI, 30 Mei (Bernama) -- Tiga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam di sini pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.20 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 35 minit kemudian dengan jarak 40.6 kilometer.

"Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan terdapat kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan yang bertembung iaitu bas ekspres dan kereta Perodua Myvi.

"Tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang tersepit dalam Perodua Myvi dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu bas ekspres tersebut pula mengalami kecederaan ringan dan pihaknya telah memulakan operasi dengan menggunakan alatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata mangsa yang maut ialah pemandu Myvi lelaki berusia 24 tahun serta dua penumpang wanita berusia 39 dan 18 tahun.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu manakala bas ekspres dari arah Kota Bharu menuju Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di lokasi kejadian kereta tersebut dipercayai cuba memotong kenderaan lain dan tidak lepas lalu bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kesemua mangsa di dalam kereta tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta terbabit dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba manakala pemandu bas ekspres yang berumur 43 tahun cedera ringan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk dibedah siasat.

"Kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu kereta tersebut yang gagal memotong kenderaan lain sehingga bertembung dengan bas ekspres," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang  mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Amirul Izham Azlan di talian 09-9666 222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan