Polis Perlis Rampas 365kg Syabu Bernilai RM13.14 Juta, Tahan Seorang Lelaki

02/06/2025 04:07 PM

KANGAR, 2 Jun (Bernama) -- Polis Perlis merampas 365 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM13.14 juta, susulan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Belat Batu, Beseri dekat Padang Besar semalam.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, pada 3.30 pagi atas maklumat diterima.

Beliau berkata suspek dilihat keluar daripada kereta Proton Waja dan menuju ke Toyota Vios sebelum ditangkap.

“Hasil pemeriksaan dalam Toyota Vios membawa kepada penemuan 17 guni berjahit mengandungi dadah disyaki syabu dipercayai dibawa dari Thailand,” katanya pada sidang media di IPK Perlis di sini hari ini.

Muhammad berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan kawasan hutan di Padang Besar sebagai transit sebelum dadah yang boleh digunakan 3.6 juta penagih itu, dihantar ke selatan tanah air.

Beliau berkata lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Muhammad berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun ditahan bersama dua bungkusan ketulan ganja mampat seberat dua kilogram, disembunyikan dalam tong sampah di kawasan Taman Singgah Sana, Padang Besar pada 2.15 pagi semalam.

“Dadah itu dianggarkan bernilai RM6,200 dan boleh digunakan kira-kira 20,000 penagih,” katanya. 

Beliau berkata suspek dua kes tersebut didapati positif methamphetamine dan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan