SEREMBAN, 3 Jun (Bernama) -- Empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng gas petroleum cecair bersubsidi berjumlah 1,200 kilogram (kg), akhir bulan lepas.
Orang Kena Saman (OKS) iaitu Lee Kin Choong, 57; Lim Chun Wee, 38; Tang Kai Lin, 28; dan Mar Thang, 31; membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka.
Pertuduhan bagi seorang lagi OKS warga Myanmar iaitu Phaway Ai, 23, atas kesalahan sama tidak dibacakan kerana memerlukan kehadiran jurubahasa.
Kesemua mereka secara bersama-sama didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu gas petroleum cecair berjumlah 1,200kg, dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kira-kira 6.45 petang di premis tanpa nombor di Jalan Mantin, di sini pada 30 Mei.
Kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Janawatul Fieza Hamisan, meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 setiap seorang dan tiada jaminan kepada Mar Thang berikutan bukan warga negara.
Kesemua OKS yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan paling minimum dikenakan, berikutan hanya berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan isteri, anak-anak dan ibu bapa selain ada yang mempunyai penyakit.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi semua OKS tempatan dan RM8,000 kepada OKS bukan warga negara, dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat KPDN Negeri Sembilan setiap bulan serta tidak menganggu saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Julai dan pertuduhan untuk Phaway Ai dengan kehadiran jurubahasa dibacakan pada 5 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial