KLANG, 7 Jun (Bernama) -- Bomba tidak menolak kemungkinan dua mangsa bot terbalik di perairan Tanjung Harapan semalam yang belum ditemukan telah dihanyutkan arus semasa bot itu ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang Timbalan Penguasa Bomba Haikal Jammy Ngali berkata siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mangsa telah ditarik oleh bot awam sejauh 0.3 batu nautika sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar 5 petang hari yang sama.
Beliau berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mangsa yang juga pasangan suami isteri itu tercampak ketika insiden tersebut berlaku.
"Walaupun bot yang tenggelam itu berjaya diapungkan namun dua mangsa yang dicari tidak ada di dalam bot berkenaan sekali gus menguatkan teori bomba bahawa dua mangsa berkenaan telah hanyut,"
"Setakat ini, pasukan penyelamat hanya melakukan aktiviti pencarian pada permukaan air berbanding selaman dasar kerana bomba belum dapat memastikan lokasi sebenar bot berkenaan terbalik," katanya pada sidang media yang turut disertai Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao di lokasi pencarian di Tanjung Harapan di sini hari ini.
Sementara itu, Vijaya berkata pihaknya tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung dua mangsa yang masih hilang walaupun radius pencarian telah meliputi kawasan seluas lima batu nautika.
Berhubung bot yang telah diapungkan, beliau berkata bot terbabit akan bawa ke pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, antaranya melibatkan aspek teknikal.
"Selain itu, kita juga ingin memaklumkan mayat tiga mangsa termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun yang maut dalam insiden tersebut telah dituntut pihak keluarga selepas proses bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Shah Alam hari ini," katanya.
Vijaya turut memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7 malam dan akan disambung pagi esok.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, seorang selamat iaitu Alvin Chang Yan Qin, 17, manakala sepasang suami isteri masih hilang.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Darren Gan, 3, Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29, manakala yang hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial