Norjuma Didenda RM4,800 Lakukan Khianat Rosak Palang Dan CCTV Kondominium

10/06/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bekas personaliti televisyen Norjuma Habib Mohamed didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium, dua tahun lepas.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas Norjuma, 45, menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Norjuma, yang membayar denda itu, didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan serta CCTV milik Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju di sini pada 7.44 dan 7.45 malam pada 28 Julai 2023, yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM4,700.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dialami kondominium berkenaan namun peguam Faiz Kamal Jaafar memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan telah menyesal.

“Anak guam saya masih belajar di institusi pendidikan tinggi tempatan dan dia juga ditanggung oleh ayahnya yang merupakan pesara kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan