Lebih 2,000 Botol Sabun Pencuci Disyaki Tiruan Dirampas

11/06/2025 09:56 PM

RAWANG, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 2,120 botol sabun pencuci pakaian disyaki tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis kilang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata serbuan kira-kira pukul 2 petang itu ialah hasil risikan selama dua minggu terhadap aktiviti premis berkenaan yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan barangan tiruan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sabun pencuci itu menggunakan label jenama terkenal tanpa kebenaran dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM29,680," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Mohd Hanizam berkata produk berkenaan dipercayai disasarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dijual pada harga lebih rendah berbanding produk asli manakala premis kilang terbabit dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan semua barangan rampasan akan dibawa ke stor KPDN untuk siasatan lanjut.

"Pemilik premis akan dipanggil bagi membantu siasatan. Pihak pemilik jenama asal juga akan bekerjasama dengan KPDN dalam tindakan lanjut," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi serbuan mendapati botol-botol sabun berkapasiti 3.6 kilogram itu setiap satu telah siap dibungkus di dalam kotak dan sedia untuk diedarkan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan