SPRM Tahan Lima Disyaki Seleweng Dana Ngo Sumbangan Awam Bernilai RM26 Juta

16/06/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu disyaki menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil sumbangan orang ramai bernilai RM26 juta.

Menurut sumber lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan pertubuhan itu ditahan menerusi Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lepas.

Sumber tersebut berkata lima suspek terbabit kini direman, iaitu empat daripadanya sehingga Rabu manakala seorang lagi sehingga Khamis ini.

"Mereka dipercayai telah memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri," katanya kepada Bernama.

Sumber itu berkata kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak tahun 2015.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan memaklumkan pihaknya telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta.

“Antara barangan yang disita ialah barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta

"SPRM juga membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi siasatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan