KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan tujuh kes salah guna kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin, 78, selaku pemohon, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pendakwa raya selaku responden.
"Saya telah menimbang hujahan kedua-dua pihak dan mendapati pemohon (Muhyiddin) telah memenuhi threshold (ambang) bagi kesnya dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah. Tiga persoalan undang-undang yang akan berbangkit (daripada pertuduhan) adalah persoalan undang-undang yang luar biasa sukarnya.
"Walaupun saya mempunyai keyakinan penuh bahawa hakim Mahkamah Sesyen mempunyai pengetahuan undang-undang dan kepakaran untuk mengendalikan perbicaraan kes ini, adalah lebih wajar bagi tiga persoalan berkenaan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi," kata hakim itu yang turut menetapkan 14 Julai ini untuk pengurusan kes.
Terdahulu Hisyam berhujah bahawa permohonan pemindahan itu memenuhi ambang dan sememangnya terdapat merit yang memerlukan mahkamah melaksanakan kuasa tambahannya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 kepada Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
"Affidavit sokongan pemohon, dan beberapa soalan kritikal undang-undang yang sukar di luar kebiasaan mungkin timbul dalam prosiding jenayah ini, dan bagi tujuan keadilan, perkara yang sama harus dipindahkan dan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi," katanya.
Sementara itu Wan Shaharuddin berhujah responden tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kecekapan dan kebolehan hakim Mahkamah Sesyen dalam mengadili sebarang isu undang-undang yang boleh dibicarakan termasuk persoalan undang-undang yang dikemukakan Muhyiddin dalam permohonan berkenaan.
"Hakim Mahkamah Sesyen telah berkhidmat sebagai hakim di mahkamah itu lebih 13 tahun dan mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Fakta bahawa pemohon adalah bekas Perdana Menteri tidak semestinya memberikan beliau keistimewaan untuk memilih mahkamah mana yang perlu mendengar kesnya," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi berasingan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Jan 2022 dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial