Maritim Malaysia Tahan Bot Bawa Lebih Penumpang Di Tanjung Harapan

16/06/2025 04:21 PM

SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang di kedudukan 0.2 batu nautika selatan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot penumpang yang sarat dengan 40 individu itu ditahan pada 5.30 petang ketika dalam perjalanan dari jeti Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot dinaiki 40 penumpang itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan kru warga tempatan berumur 23 dan 26 tahun.

"Kes disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, iaitu melanggar syarat sah lesen kerana membawa penumpang melebihi had," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata perbuatan mengabaikan syarat-syarat sah lesen seperti membawa penumpang melebihi kapasiti boleh mengundang risiko bahaya dan kehilangan nyawa pada bila-bila masa.

“Bot serta nakhoda dan kru terbabit dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA


 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan