Polis Terima Laporan Pemilik Seret Anjing Hingga Cedera

16/06/2025 09:32 PM

SUNGAI PETANI, 16 Jun (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang lelaki bertindak kejam mengikat seekor anjing di belakang motosikal sebelum diseret dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata lelaki itu didakwa bertindak demikian kerana dia tidak lagi mahu memelihara haiwan berkenaan selepas empat bulan dipelihara.

“Siasatan awal mendapati anjing itu tidak mati, sebaliknya mengalami luka dan telah dihantar ke klinik haiwan untuk dirawat.

“Kami membuka siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan kami juga merujuk kes ini kepada pejabat veterinar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata usaha mengenal pasti suspek sudah dibuat dan akan ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, tindakan lelaki itu dihalang seorang lelaki lain yang berada di lokasi sama, malah insiden itu turut dirakam seorang wanita yang kemudiannya memuat naik rakaman itu di laman sosial Facebook.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan