Nahas UPSI: Lesen Pemandu Bas Digantung Serta-merta

16/06/2025 09:38 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung serta-merta lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 56 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan siasatan yang sedang dijalankan.

"JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah proaktif, penggantungan lesen itu kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Aedy Fadly turut menegaskan komitmen JPJ untuk tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Pada awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan