KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 19,000 kilogram (kg) beras putih dari Thailand ketika melakukan rondaan Op Taring Wawasan di Jalan Kampung Air Gatal, Tanah Merah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam operasi kira-kira 4 pagi itu, sepasukan anggota Batalion 9 PGA telah mengesan beberapa individu sedang memunggah guni ke dalam treler di lokasi berkenaan.
Beliau berkata kesemua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan yang sedang melakukan rondaan.
“Barang rampasan termasuk treler dianggarkan bernilai RM426,000 dan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut menggagalkan cubaan menyeludup 11 ekor lembu selepas menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Telaga Bata, Tumpat, Khamis lepas.
“Pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan lembu berkenaan. Pemandu warga tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai menjadi penghantar lembu, turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM151,000 termasuk lori dan hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial