KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Polis sedang memburu dua lelaki kerana disyaki cuba melakukan samun bersenjata di sebuah kedai di Hulu Selangor pada awal pagi 18 Jun lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata perbuatan dua suspek itu dirakam kamera litar tertutup dan mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian pada 6.42 pagi hari yang sama.
Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian itu turut tular di media sosial.
Katanya siasatan awal mendapati dua individu berpakaian serba hitam, bertopi, bertopeng muka dan bersenjatakan parang cuba menyerang mangsa ketika berada di kedainya selepas dipercayai memasuki premis itu melalui pintu belakang.
"Mangsa sempat menjerit meminta pertolongan menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil sebarang barangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Asri berkata pihaknya sedang mengesan dua suspek berkenaan yang dipercayai lelaki tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1132 atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Saful Abdul Rahman di 013-5547 435.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial