Hanya Satu Premis Ada Lesen - MBJB Siasat Aktiviti Haram Di Tapak Stor Terbakar

22/06/2025 06:09 PM

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengesan sebanyak 10 premis milik syarikat berbeza yang beroperasi secara sewaan di kawasan kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai, Taman Kota Puteri, Masai, di sini.

Tapak seluas 64,664 meter persegi itu dikesan menempatkan pelbagai jenis premis termasuk tempat mencuci kenderaan, parkir lori, bengkel dan premis barangan lusuh, namun hanya satu premis didapati memiliki lesen yang sah.

Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata siasatan awal mendapati hanya sebuah premis penyimpanan minyak kelapa sawit memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh MBJB dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Tanah ini disewakan kepada beberapa premis dan hanya satu daripadanya berlesen. MBJB akan mengambil tindakan susulan termasuk memaklumkan perkara ini kepada SWCorp kerana terdapat premis barangan lusuh yang turut beroperasi di situ,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Dalam kejadian sekitar 12.30 tengah hari semalam, lima premis melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan 15 kenderaan.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati laluan ke kawasan kebakaran ditutup oleh pihak berkuasa sejak awal pagi, manakala orang ramai kelihatan berhimpun di sekitar lokasi bagi melihat kesan kebakaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan