Maritim Malaysia-JCG Adakan Latihan Bersama Di Perairan Selangor

23/06/2025 04:04 PM

KLANG, 23 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Japan Coast Guard (JCG) akan menjalankan latihan bersama selama empat hari di sekitar perairan Selangor bermula hari ini. 

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata latihan melibatkan Kapal Maritim (KM) Banggi dan Kapal Peronda (PV) Mizuho itu membuktikan keyakinan JCG terhadap Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama keselamatan bagi menghadapi cabaran serantau yang semakin kompleks. 

Beliau berkata antara siri latihan yang akan dijalankan ialah carilamat, teknik penahanan dan latihan peranti akustik jarak jauh melibatkan anggota dan pegawai daripada Maritim Malaysia serta PV Mizuho. 

“Ini adalah lawatan pertama PV Mizuho selepas COVID-19… kerjasama di antara Maritim Malaysia dan JCG telah bermula sejak 2006. 

“Kerjasama antara PV Mizuho dan KM Banggi pada kali ini adalah latihan melibatkan penguatkuasaan undang-undang terutamanya rompakan laut dan jenayah rentas sempadan, di samping melibatkan aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang lain dalam zon kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PV Mizuho di Port Klang Cruise Terminal di sini hari ini. 

Turut hadir Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki, Timbalan Komandan Operasi JCG Kanosue Hiroaki dan Pengarah Maritim Malaysia Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Sementara itu, Konosue Hiroaki berkata lawatan itu dijangka memupuk persefahaman bersama dan menggalakkan perkongsian ilmu antara kedua-dua kru selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi.

“Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri kami Ishiba melawat Malaysia dan pada kesempatan itu beliau menyebut kepentingan kerjasama antara agensi pengawal pantai kita dan lawatan PV Mizuho ini adalah kunjungan pertama kapal peronda kami sejak itu. 

“Jadi, kami berharap bukan sahaja untuk peningkatan dan pemahaman bersama bagaimana kami mengendalikan kapal kami melalui latihan ini tetapi juga untuk meningkatkan kemahiran bersama serta mengukuhkan kepercayaan dan hubungan antara kedua-dua agensi,” katanya.

Mizuho (PLH-41) yang dilancarkan pada 2019, kapal peronda bersaiz besar yang memiliki berat 6,000 tan dan 134 meter panjang ialah kapal peronda luar pesisir moden yang dilengkapi untuk misi mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang maritim dan operasi perintah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan