Pecah Amanah Wang Syarikat: Bekas Pegawai Kewangan Dipenjara 16 Bulan, Denda RM5,000

24/06/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bekas pegawai kewangan sebuah stesen minyak dihukum penjara 16 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku melakukan pecah amanah wang syarikat membabitkan lebih RM180,000 untuk kegunaan peribadi.

Hakim Azrul Darus memerintahkan Siti Nurain Mohamad Ghazali, 37, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia direman pada 22 Mei lepas dan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Siti Nurain didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini pada April hingga Disember 2024 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan serta denda.

Mengikut fakta kes, semasa sesi audit dijalankan pada 5 Feb lepas, pihak syarikat mendapati laporan kewangan bercanggah dan memanggil tertuduh untuk diaudit.

Siti Nurain didapati mengambil wang yang sepatutnya dibayar kepada pembekal rokok secara berperingkat bermula April hingga Disember 2024 dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank sendiri bagi kegunaan peribadi.

Semasa merayu hukuman ringan, Siti Nurain yang tidak diwakili peguam berkata dia mempunyai anak kecil dan masih mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur serta perlu makan ubat setiap hari.

“Suami saya hilang punca pendapatan dan perlu menyara anak berumur lapan, 10 dan 11 tahun. Saya yang direman selama sebulan telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan pula memohon hukuman setimpal dan meminta mahkamah mengambil kira fakta bahawa tertuduh menggunakan kedudukannya untuk mengambil wang tersebut bagi tujuan peribadi. 

“Tempoh digunakan untuk mengambil wang yang banyak itu dari April 2024 merupakan perbuatan yang telah dirancang dan berterusan.

"Tindakan tertuduh menjejaskan kedudukan kewangan syarikat yang mana wang itu sepatutnya dibayar kepada pembekal," katanya yang meminta mahkamah mengambil kira kekerapan kes salah guna kuasa yang berlaku di negara ini.

Beliau juga berkata hukuman seharusnya menjadi mesej kepada umum dan mahkamah sebagai penegak keadilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan