Kes Bon Jaminan Zuraida: Mahkamah Persekutuan Beri Kebenaran Untuk PKR Merayu

24/06/2025 06:41 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah yang perlu dibayar oleh bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti itu.

Permohonan itu, yang dibenarkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, merupakan syarat bagi membolehkan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 11 Dis 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi pada 23 Jun 2023 telah membuat keputusan yang memihak kepada PKR dan memerintahkan Zuraida, yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, membayar RM10 juta kepdaa parti itu selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. 

Kes itu adalah susulan saman yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti politik berkenaan bagi menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Dalam terma dan syarat bon, antara lain Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR termasuk jika beliau meletak jawatan dari parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan PKR untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini, PKR diwakili peguam Ranjit Singh, William Leong, Navpreet Singh, Sakina Siraj, Chew Chun Man dan Liew Hong Wei manakala Zuraida diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Nurul Najwa Zainuddin serta Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan