Polis Tahan Tiga Individu Bantu Siasatan Kes Bunuh Penuntut Universiti Di Cyberjaya

27/06/2025 12:25 PM

SEPANG, 27 Jun (Bernama) -- Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan susulan kes penuntut universiti yang ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Cyberjaya, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata tangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 20 tahun itu dibuat semalam dan awal pagi Jumaat antara 9 pagi hingga 2 pagi.

"Tangkapan dibuat di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, dalam masa 48 jam setelah laporan polis diterima.

"Kesemua yang ditahan dipercayai mengenali mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat pagi ini di Mahkamah Sesyen di sini bagi membantu siasatan. 

Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat tidak benar yang boleh mengganggu siasatan dan jangan mengambil sebarang tindakan boleh melanggar undang-undang.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga 3 Julai itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sepang Azaraorani Abdul Rahman.

Difahamkan suspek tiba di pekarangan mahkamah pada 8.30 pagi dan dibawa keluar kira-kira 9.45 pagi.

-- BERNAMA


 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan