KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini pada 2023.
ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob, ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.
Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.
Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di sini pada 11 malam, 12 Mei 2023.
Tei, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad Suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dua ADUN itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Tei dituduh di bawah Seksyen (b)(A) Akta SPRM 2009.
Kesemua mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee dan Rustam Sanip.
Yusof dan Andi Muhammad Suryady diwakili peguam Datuk Ram Singh, Shahlan Jufri dan Ridzwandean Borhan manakala Tei diwakili Edward Paul.
Mahkamah membenarkan Yusof dan Andi Muhammad Suryady diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin, dan Tei diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Ogos ini dan mahkamah turut mengarahkan supaya pasport semua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat dua bulan sekali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial