BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menzahirkan komitmen untuk memperkukuh peranan agensi itu agar lebih mantap dan relevan, selaras dengan hasrat serta hala tuju kerajaan dalam mempertingkat kawalan sempadan negara.
Mohd Shuhaily yang memulakan tugas secara rasmi hari ini berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman yang memberikan mandat khusus berkaitan urusan pentadbiran AKPS.
“Insya-Allah, tugas saya adalah untuk memastikan AKPS ini dapat dilihat secara fizikal dalam masa yang terdekat.
“(Ini termasuk memastikan AKPS memberi) impak kepada masyarakat seperti yang dihasratkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan rasmi Ketua Pengarah AKPS di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Shuhaily tiba di pejabat AKPS pada kira-kira 9.15 pagi dan disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Ismail Mokhtar serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Mohd Jasmi Mohd Juwahir.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Mohd Shuhaily, 53, dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Mohd Shuhaily berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Sains Pengajian Strategik Universiti Teknologi Nanyang di Singapura.
Beliau pernah berkhidmat di Washington, Amerika Syarikat sebagai Pegawai Atase (Polis) dari 2010 hingga 2013 dan menyandang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 15 Ogos 2023.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024, dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.
AKPS berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di semua pintu masuk negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial