LAHAD DATU, 2 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu (pacuan empat roda) Mohd Azizi, 28, serta penumpang hadapan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, dan Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, yang duduk dibahagian belakang.
"Kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Pemandu treler lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumsoa berkata pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kemalangan itu pada 8.52 malam dan sepasukan 12 anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer dari balai bomba berkenaan.
Operasi menyelamat ditamatkan pada 12.40 tengah malam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.
"Akibat kemalangan itu, lori dan pacuan empat roda terseret ke gaung sebelah kiri jalan (dari arah Lahad Datu ke Sandakan), pacuan empat roda itu juga melanggar sebatang pokok kelapa sawit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jimmy berkata saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis di sini bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial