KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Seorang buruh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine (syabu) lebih 20 kilogram (kg) bulan lepas.
Munzir Abdurrahman, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dianggarkan seberat 20,850 gram (20 kg) di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati di sini, pada 12.38 tengah hari, 22 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 3 Okt ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia berhubung kes itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Kirthana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial