Jurutera Mengaku Tidak Bersalah Minta Suapan RM13,000

03/07/2025 01:31 PM

BUTTERWORTH, 3 Julai (Bernama) -- Seorang jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan sebanyak RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat, tiga tahun lepas. 

Mohamed Rizal Salim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Dia didakwa meminta suapan untuk diri sendiri daripada seorang pengarah syarikat sebagai dorongan untuk tertuduh sebagai Jurutera Awam Gred J41 di Pejabat Jurutera Daerah, Jabatan Pengaliran Dan Saliran (JPS) Barat Daya untuk meluluskan kerja-kerja perolehan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jurutera Daerah, JPS Barat Daya pada 25 Mac 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee menawarkan wang jaminan RM15,000, namun peguam Aqmarul Aqil Ismail yang mewakli tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan yang banyak termasuk ibu yang sedang sakit.

Hakim Zulhazmi menetapkan wang jaminan RM10,000, serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan 8 Ogos untuk tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan