ALOR SETAR, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kedah menahan tujuh lelaki warga China disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya, dekat sini semalam.
Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata serbuan oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Imigresen Alor Setar itu turut menahan dua lelaki tempatan, dengan kesemua mereka dianggarkan berumur antara 20 hingga 49 tahun.
“Mereka disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di premis itu. Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga China itu melanggar syarat pas yang sah manakala dua warga tempatan dipercayai melindungi mereka serta terlibat sama dalam aktiviti terbabit.
“Pasukan operasi merampas kesemua pasport warga China selain komputer riba dan lebih 30 unit telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
“JIM negeri menegaskan bahawa aktiviti perjudian dalam talian didalangi pendatang tanpa izin bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut memberikan kesan negatif kepada keselamatan dan ketenteraman awam negara,” katanya.
Mohd Ridzzuan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas dan melakukan aktiviti tidak bermoral selain tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial