PASIR MAS, 3 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta merampas pil kuda seberat 35.4 kilogram (kg) bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di sini dan Tumpat pada Jumaat lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 25 hingga 39 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.
“Menerusi serbuan pertama, JSJN menahan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Gajah Mati, Banggol Chica, Pasir Mas dengan seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas. Pemeriksaan menemukan 115 gram (g) pil kuda sebelum pemeriksaan susulan di rumahnya di kawasan sama turut menemui 112g pil kuda.
“Seterusnya, pemeriksaan di kandang lembu di belakang rumah suspek menemukan 20 kg pil kuda yang disembunyikan dalam lambakan najis lembu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas hari ini.
Mat Zani berkata menerusi serbuan serentak, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki bersama sebuah Toyota Hilux miliknya dan merampas 15.4 kg pil kuda.
“Serbuan selanjutnya di beberapa rumah di sekitar Pasir Mas dan Tumpat berjaya menangkap tiga lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan isteri kepada suspek pertama.
“Kita percaya hasil keuntungan menjual pil kuda ini digunakan untuk membuka perniagaan lain seperti restoran makanan laut di Tanah Merah, salon dan perniagaan dalam talian. Mereka mencuci duit haram itu dengan melakukan perniagaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan itu hasil risikan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Kontinjen Kelantan yang menjalankan intipan selama setahun bagi membanteras kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak 2022.
Mat Zani berkata pil kuda berkenaan disyaki untuk dipasarkan ke seluruh Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bahru dengan sindiket menyasarkan pelajar dan remaja.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kandang lembu sebagai stor penyimpanan sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Mat Zani berkata Selain pil kuda, polis turut menyita barang kemas, beg berjenama dan beberapa kereta mewah bernilai lebih RM1.1 juta dengan kesemua suspek direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah. Namun semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua dan kelima mempunyai rekod lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
“Polis Diraja Malaysia akan terus mengekang masalah penyalahgunaan dadah terutamanya di Kelantan sebagai negeri sempadan melalui operasi berterusan untuk mengesan beberapa lagi sindiket dadah yang berada dalam radar kita,” katanya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial