Pasangan Suami Isteri Dipenjara Kerana Mencuri

04/07/2025 04:36 PM

MELAKA 4 Julai (Bernama) -- Seorang wanita hamil lima bulan dan suaminya dihukum penjara dalam tiga prosiding mahkamah berbeza atas kesalahan menyamun, mencuri dan melupuskan harta curi.

Di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Jasila Jamaruddin, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyamun dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditahan, iaitu 10 Jun lepas. 

Jasila didakwa merompak dengan cara merampas seutas rantai tangan emas bernilai RM12,000 daripada seorang wanita berusia 42 tahun di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, Melaka Tengah pada 28 Mei lepas,  kira-kira 11 pagi.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, tertuduh dan suaminya Muhammad Alif Aiman Zaini, 24, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas mereka mengaku bersalah menerima dan melupuskan harta curi.

Mereka didakwa menjual seutas rantai tangan emas tersebut di sebuah kedai pajak di Jalan Kiara Semenyih, Hulu Langat, kira-kira  4 petang pada hari kejadian ( 28 Mei). 

Pasangan itu juga dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Uthman Abdul Ghani, secara niat bersama mencuri harta, iaitu kad akses pintu dan lif, sebuah televisyen LED, box android Xiaomi, seterika, pemanas air, selimut dan bantal di sebuah inap sewa di Atlantis Residence Tower, Kota Laksamana pada 26 April lepas. 

Barangan yang dicuri dianggar bernilai RM1,100 dan kedua-dua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan wanita itu sedang hamil lima bulan dan mempunyai empat anak yang masih kecil yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan