TANGKAK, 5 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga wanita kerugian RM66,825 selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan sambilan tidak wujud melalui sebuah aplikasi e-dagang popular.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa berusia 36 tahun itu menerima tawaran kerja menerusi aplikasi berkenaan dan diarahkan melaksanakan beberapa tugasan, dengan janji akan menerima komisen selepas tugasan diselesaikan.
“Namun, selepas mangsa mematuhi semua arahan dan melaksanakan tugasan seperti diminta, tiada sebarang bayaran diterima seperti dijanjikan.
“Mangsa dipercayai telah melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM66,825,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
“Buat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan atau pekerjaan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial