GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang juga pesara pengurus bank kerugian RM680,781, selepas menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai keselamatan siber dan polis, dalam kejadian baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 80 tahun itu, membuat laporan polis semalam di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, selepas menjadi mangsa sindiket tersebut.
“Mangsa menerima panggilan telefon pada 12 Jun daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai wakil “Cyber Security Putrajaya” dan mendakwa nombor telefon mangsa telah disenarai hitam kerana terlibat dalam penyebaran maklumat palsu.
“Seterusnya panggilan itu disambungkan kononnya kepada pegawai polis di Balai Polis Alor Setar yang mendakwa akaun bank mangsa digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram, sebelum lelaki tersebut diarahkan membuka akaun bank baharu bagi tujuan ‘membersihkan nama’ serta mengelak ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata mangsa telah membuka dua akaun bank baharu seperti diarahkan dan melakukan empat transaksi pemindahan wang bermula 19 hingga 23 Jun melibatkan RM680,781 ke dalam akaun tersebut.
Beliau berkata suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua kad ATM dan kad kreditnya, termasuk slip pembukaan akaun, dengan memasukkan semuanya ke dalam sampul surat dan meninggalkannya di atas kotak pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran sebuah bank di Tanjung Bunga dekat sini.
Mohd Alwi berkata pada 26 Jun, mangsa membuat semakan ke atas ketiga-tiga akaun bank miliknya dan mendapati semua wang telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial