KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Sentul, dua bulan lepas.
K. Nagentherah, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh K. Kumaran, 44, di tepi jalan Taman Intan Baiduri, Sentul, di sini pada 9.23 malam, 25 Mei lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Mohd Yunus Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial