PEKAN, 8 Julai (Bernama) -- Polis Pahang mengesahkan menerima satu laporan berhubung penyebaran video palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya menerima laporan berkenaan daripada Istana Pahang pada Ahad lepas.
“Kita juga dapati akaun TikTok itu palsu … dan saya rasa akaun berkenaan masih lagi beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Yahaya turut menasihatkan masyarakat supaya menyemak sebarang kesahihan maklumat yang dipaparkan di media sosial, khususnya perkara melibatkan institusi diraja.
Pada 6 Julai, Istana Pahang memaklumkan bahawa penyebaran video menggunakan teknologi AI yang memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat adalah tidak benar
Istana Pahang menjelaskan video yang disebarkan menerusi beberapa akaun di aplikasi TikTok adalah tidak sahih dan tindakan berkenaan merupakan penyalahgunaan imej Al-Sultan Abdullah bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial