SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Seorang bekas ketua pengurusan pengangkutan sebuah syarikat cari gali minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan lebih RM400,000 antara tahun 2021 hingga 2023.
Mohd Khairil Mohd Anuar, 41, berdepan tujuh pertuduhan menerima suapan wang tunai keseluruhan RM367,000 dan empat pertuduhan menerima suapan pelbagai barangan elektronik bernilai RM36,168.
Dia juga didakwa menerima rasuah RM23,000 untuk pembayaran kos pembaikan rumah miliknya di Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat.
Kesemua suapan itu diterima daripada seorang ketua pegawai operasi dan seorang eksekutif kanan sebuah syarikat sebagai dorongan menyediakan ulasan teknikal bagi kelulusan tuntutan bayaran.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Bandar Bukit Mahkota di Hulu Langat, Ampang dan Kuala Lumpur antara 27 Jun 2020 hingga 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Mohd Khairil turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menggunakan wang hasil aktiviti haram bernilai RM90,000 untuk membeli tiga bidang tanah seluas 5.21 hektar di daerah Hulu Perak pada 25 Nov 2020 di Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu, Perak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Radzi Shah Ab Razak mengesyorkan jaminan antara RM60,000 hingga RM80,000 bagi semua pertuduhan, dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Putrajaya.
Peguam Syed Naqiuddin Shahab yang mewakili tertuduh, memohon jaminan kira-kira RM40,000.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin warga tempatan yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur, dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial