SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai terbabit dalam insiden menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor–Kuala Lumpur arah Sungai Buloh, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata kejadian yang tular melalui media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira 9.35 pagi berdekatan lampu isyarat Batu Arang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu mengayuh basikal dalam kelompok besar di lorong kiri jalan berkenaan dan dipercayai telah menghalang pergerakan sebuah bas yang turut melalui jalan yang sama.
"Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu dan polis sedang berusaha mengesan kumpulan pengayuh basikal terbabit bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Azaharudin berkata kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing, dan orang yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor melalui talian 03-32891222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas sebelum ditenangkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial