KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh, termasuk buli siber mula berkuat kuasa hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan penguatkuasaan kedua-dua akta berkenaan adalah usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem perundangan negara supaya seiring dengan keperluan semasa serta cabaran baharu dalam landskap jenayah moden.
“Pelaksanaan kedua-dua akta ini bertujuan memperkemas prosedur perundangan, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah serta memberi ruang kepada tindakan yang lebih pantas dan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu hari ini.
BHEUU memaklumkan pindaan kedua-dua akta itu memperkenalkan peruntukan khusus yang membolehkan tindakan undang-undang lebih tegas terhadap pelaku buli selaras dengan komitmen kerajaan untuk melindungi masyarakat terutama golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu yang mengalami tekanan mental akibat gangguan buli.
“Dalam konteks ini, pindaan memperkenalkan seksyen-seksyen baharu seperti Seksyen 507B hingga 507G yang secara spesifik memperuntukkan hukuman setimpal bagi kesalahan berkaitan komunikasi mengancam, menghina atau mencela yang bertujuan menyebabkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa.
“Tambahan lagi, pindaan ini turut merangkumi kesalahan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau doxing, yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun,” menurut kenyataan itu.
BHEUU memaklumkan pengenalan peruntukan khas berkenaan dibuat hasil penelitian terhadap kelemahan undang-undang sedia ada yang didapati tidak mencukupi untuk menangani pelbagai bentuk ancaman psikologi dan emosi dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
“Kerajaan juga akan terus memastikan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Dengan pelaksanaan akta ini, Kerajaan MADANI terus komited untuk memastikan undang-undang negara kekal relevan dan responsif terhadap cabaran dunia digital semasa demi keselamatan, kesejahteraan serta keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pindaan itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 dan di Dewan Negara pada 16 Dis 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial