MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Kadar kepulihan dalam kalangan klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Melaka meningkat kepada 87 peratus pada tahun lepas berbanding 85 peratus pada 2023.
Pengarah AADK negeri Noor Azrimah Ahmad berkata peratusan berkenaan lebih tinggi berbanding kadar kepulihan yang disasarkan oleh ibu pejabat AADK iaitu 75 peratus.
Beliau berkata pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan kadar kepulihan klien ADDK, antaranya keberkesanan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK), kekuatan fizikal dan psikologi klien, serta sokongan keluarga dan masyarakat.
"Selain itu, AADK dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri kerap melaksanakan program bagi menyantuni atau mendekati klien sekali gus membentuk jati diri agar yakin untuk bersama komuniti.
"Menerusi program RPDK, kita akan mengadakan libat urus bersama klien secara ‘one to one’ atau berkumpulan. Mereka akan hadir ke AADK daerah sebulan sekali selain program itu juga diadakan dalam komuniti seperti di bawah pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR)," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Program Peluang Kedua 'Kita Bantu Kita' bersama Klien RPDK sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mengulas lanjut, Noor Azrimah berkata berdasarkan rekod terdapat kira-kira 1,400 klien AADK di Melaka sehingga hari ini dan mereka masih menjalankan rawatan pemulihan yang ditetapkan.
Beliau berkata kebanyakan klien terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik jenis perangsang amphetamine (ATS) antaranya methamphetamine dan ekstasi.
“Kadar penagihan berulang di negeri ini pada tahun lepas pula adalah sebanyak 40 peratus dengan tempoh seseorang klien kembali dalam penyalahgunaan dadah antara dua hingga empat tahun.
"Justeru, keluarga memainkan peranan penting untuk membantu serta memberi sokongan kepada klien agar tidak kembali terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan masyarakat juga perlu membuang stigma buruk terhadap klien dengan memberi peluang kepada mereka kembali dalam komuniti," katanya.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata Program Peluang Kedua 'Kita Bantu Kita' bersama Klien RPDK akan diteruskan dari semasa ke semasa di DUN Duyong supaya golongan berkenaan tidak rasa terpinggir sekali gus memberi sokongan untuk mereka keluar dari aktiviti tidak sihat itu.
"Program WRUR ini merupakan permulaan untuk kita mendekati golongan tersebut dan saya lihat program RPDK mampu memberi impak positif selain mengurangkan jurang antara klien AADK ini dengan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial