Imigresen Kesan Pusat Judi Dalam Talian Di Pangsapuri, 496 Pati Ditahan

16/07/2025 11:11 AM

SERDANG, 16 Julai (Bernama) -- Tiga unit kediaman yang disangka tidak berpenghuni di sebuah pangsapuri empat tingkat di Pusat Bandar Putra Permai di sini, rupa-rupanya dijadikan pusat operasi judi dalam talian yang dipercayai didalangi warga tempatan.

Kegiatan itu terbongkar hasil operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Pasukan Gerakan Am, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Jafri Embok Taha berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga unit kediaman yang dijadikan pusat judi itu didaftarkan atas nama tiga individu warga tempatan, berdasarkan rekod bil utiliti yang diperoleh.

“Ketika anggota menemui unit kediaman itu, premis telah kosong dipercayai mereka melarikan diri dan hanya tinggal beberapa ‘tablet’, monitor, kerusi dan meja. Kita menyerahkan kes berkaitan penemuan pusat judi itu kepada MBSJ untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi itu di sini.

Beliau berkata ketiga-tiga unit kediaman itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakkan di luar dan kegiatan mereka ini menyasarkan pelanggan dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) yang menetap di pangsapuri berkenaan.

Jafri Embok berkata operasi yang bermula 10 malam dan berakhir 1 pagi itu turut memeriksa 741 warga asing yang tinggal di pangsapuri tersebut dan daripada jumlah itu, 496 merupakan PATI yang kemudiannya dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang disyaki pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu akan terus digerakkan dari semasa ke semasa dan orang ramai diingatkan supaya tidak menggaji, melindungi atau menempatkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah di premis mereka.

Sementara itu, Jafri Embok memaklumkan Jabatan Imigresen kini melaksanakan Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0, bermula 19 Mei lepas hingga 30 April 2026.

Menerusi program ini, pendatang tanpa izin dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing dengan hanya membayar kompaun RM500 dan pas khas bernilai RM20.

“Secara keseluruhan, bayaran hanya RM520 dikenakan. Di Selangor, terdapat empat lokasi bagi pelaksanaan PRM iaitu di Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan